10 Ogo 2015

Gosip Ke Ngumpat tu...

 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.  Gossip dalam dunia artis sudah zaman berzaman sebati dengan penduduk negara kita. Dan agaknya masih ramai yang tidak mengetahui makna perkataan "gossip" itu.

Jika kita rujuk kamus, gossip antara maknanya ialah "berceloteh, bisik-bisik, mengumpat…" . Dan jika kita lihat kepada gossip-gossip yang dilemparkan terhadap artis atau sesiapa sahaja yang diletakkan atas nama gossip, biasanya bukan mengatakan perkara yang baik-baik, malah sebaliknya.

Kalau sebelum ini gossip biasanya boleh dibaca dalam majalah-majalah hiburan, akhbar, radio dan television, tetapi dengan perkembangan dunia IT sekarang, gossip sudah mula menular melalui handphone dan internet. Yang melalui handphone lagi haru, siap ada servis melanggan gossip artis "yang berbayar". Semata-mata untuk mendapatkan gossip-gossip hangat yang terbaru, is is is.

Mengapa kita perlu mendidik masyarakat dengan gossip?  Mengapa kita perlu menghebohkan keburukan-keburukan peribadi orang lain? Adakah artis itu bukan manusia? Adakah artis dan sesiapa sahaja yang digossipkan itu tidak mempunyai maruah, hati dan perasaan? Bagaimana jika "Tukang Gossip" sendiri yang kena, apa perasaannya? Adakah semata-mata kerana kita mahu ikut style Hollywood? Kerana gossip-gossip tentang artis ini bermula dari sana dan semakin menular ke seluruh dunia hasil dari ajaran mereka.

Kalaulah gossip itu sentiasa bercakap hal-hal yang elok dan membina tentang orang yang digossip, itu lain cerita. Ini biasanya akan diperkatakan tentang hal-hal yang tidak elok dan menjatuhkan maruah seseorang. Adakah ini caranya kita mendidik masyarakat kita? Perkara ini mesti difikir-fikirkan dan dipertimbangkan semula. Budaya gossip / mengumpat semakin berleluasa melalui media-media massa dan ini secara tidak sedar mengajar masyarakat kita menjadi manusia yang suka mengumpat dan memperkatakan keburukan orang lain, na’uzubillah.
Lebih teruk lagi jika gossip tersebut bertujuan untuk melaga-lagakan sesama Muslim. "Tidak akan masuk Syurga orang yang suka mengadu domba."  [Shahih Muslim, 105]

"Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mu'min dan mu'minat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata." [Surah Al-Ahzaab : 58]

Ada perkara yang kita boleh sebarkan / mengumpat yang dibolehkan dan beritahu orang lain demi kesejahteraan bersama. Tetapi menyebar sembarangan cerita-cerita buruk dan aib tentang peribadi orang lain (yang bukan dilakukan terang-terang di hadapan khalayak umum), tidak akan membawa kesejahteraan sebenarnya, malah semakin membawa kerosakan dan huru-hara. Generasi muda juga akan terdidik dengan keadaan sedemikian. Makin rosak lah akhlak, na'udzu billah.
Muadz ibnu Jabal r.a, suatu ketika pernah datang menghadap Nabi S.a.w dan bertanya bagaimana agar dia dapat  menyucikan niatnya dan meraih keselamatan. Nabi S.a.w menjawab demikian, "Ikutilah aku, meskipun kamu mungkin gagal dalam usaha mencapainya. Wahai Muadz, jagalah lidahmu dari memfitnah teman-temanmu… carilah kesalahan pada dirimu sendiri, dan bukannya kepada orang lain, jangan membenarkan diri sendiri dan menyalahkan orang lain, jangan pula memuji-muji diri sendiri di depan orang lain. Janganlah suka memburuk-burukkan sifat-sifat orang lain sehingga pada hari kiamat nanti anjing-anjing neraka akan memburuk-burukkan kamu sehingga hancur berkeping-keping." [HR Muslim]

Wallahu a'lam ....... :-)
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan