 |
| *sekadar hiasan |
Diriwayatkan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wan-Nihayah bahawa dalam
sebuah kisah yang disampaikan oleh Sayyidina Umar al-Khattab r.a. :
Rasulullah
s.a.w. sedang berjalan bersama dengan sekumpulan para sahabat,
tiba-tiba datang seorang Arab Badwi dari Bani Sulaim ke hadapan
Rasulullah s.a.w. Beliau membawa bersamanya seekor biawak padang pasir
(dhab) yang ditangkapnya, dan bercadang untuk membakar haiwan itu untuk
dimakan.
Melihat ramai yang berjalan itu, beliau tertarik untuk
mendekati dan bertanya siapakah gerangan yang sedang mereka iringi.
Apabila diberitahu bahawa mereka sedang mengiringi Nabi, maka dia terus
mendekati Nabi lantas berkata, “Demi tuhan Lata dan Uzza, tiadalah
sesuatu yang terdapat di alam ini yang lebih kubenci daripadamu wahai
Muhammad! Kalaulah tidak kerana kaumku memanggilku dengan panggilan yang
tergesa-gesa, tentulah aku sudah memenggal kepalamu lalu aku dapat
mengembirakan hatiku dan hati semua manusia yang berkulit hitam, putih
dan merah serta selainnya!”
Sayyidina Umar al-Khattab menjadi marah, lalu bangkit dan berkata,”Wahai Nabi! Biarlah saya mengakhiri hidupnya!”
Nabi
s.a.w. tenang menjawab permintaan Umar r.a., “Wahai Umar! Tidakkah
engkau tahu bahawa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat menjadi
Nabi?”
Nabi kemudian berkata kepada Arab Badwi itu,”Apa yang
menyebabkan engkau berkata demikian? Sepatutnya engkau menghormatiku
dalam perhimpunan bersama sahabatku!”
Arab Badwi tersebut tidak
mengalah bahkan sebaliknya berkata, “Demi tuhan Latta dan Uzza! Aku
takkan beriman kepadamu hai Muhammad hinggalah biawak ini beriman
kepadamu,” katanya sambil mengeluarkannya ke hadapan Nabi s.a.w.
Nabi
s.a.w. memanggil biawak itu. Kedengaran biawak itu menjawab dengan
bahasa Arab yang fasih dan difahami oleh semua yang hadir, “Ya wahai
Nabi s.a.w.!”
Nabi bertanya,”Kepada siapakah engkau beriman?”
Jawab
biawak itu,”Saya beriman kepada Tuhan yang di langit itu ‘Arasy-Nya, di
bumi itulah kekuasaan-Nya, dan di lautan itulah jalan-Nya, di Syurga
itu rahmat-Nya, dan di Neraka itu azab-Nya!”
Tanya Nabi lagi,”Aku ini siapa wahai biawak?”
Jawab
si biawak, “Tuan adalah utusan Allah, yang memiliki sekalian alam!
Amatlah beruntung orang yang mendokong perjuangan tuan, dan binasalah
orang yang mendustakan tuan!”
Mendengar kata-kata biawak itu,
Arab Badwi itu lantas berkata, “Wahai Muhammad! Sebelum ini engkau
merupakan orang yang paling aku benci, tetapi hari ini engkau adalah
orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri,
engkau amat kukasihi zahirku dan batinku.”
Kemudian beliau mengucapkan kalimah syahadah di hadapan semua yang hadir :
“Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi adalah pesuruh-Nya.”
Lalu
Rasulullah s.a.w. berkata, “Syukur kepada Allah yang telah
menganugerahkan hidayah-Nya kepadamu, sesungguhnya Islam ini adalah yang
paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya, dan ia tidak
diterima tanpa solat, dan solat pula tidak diterima melainkan dengan
al-Qur’an.”
Jawabnya, “Kalau begitu ajarlah saya al-Qur’an itu, wahai Nabi.” Nabi pun mengajarkannya membaca surah al-Ikhlas.
Beliau berkata, “ Saya tak pernah mendengar kata-kata yang lebih hebat daripada ini!”
Nabi
menambah, “Ini adalah perkataan Allah, bukannya sajak, jika engkau
membaca surah al-Ikhlas ini sekali, ganjarannya di sisi Allah seumpama
engkau membaca sepertiga dari al-Qur’an. Jika engkau membaca dua kali
seumpama dua pertiga dari al-Qur’an dan jika engkau membaca tiga kali
seumpama engkau telah membaca keseluruhan al-Qur’an."
Jawab Arab itu, “Tuhan itu adalah Tuhan kami, Dia menerima dari kita sedikit tapi membalasnya dengan banyak!”
Nabi
bertanya kepadanya,”Adakah kamu memiliki harta?” Jawab beliau, “Tiada
seorang pun dalam Bani Sulaim yang lebih miskin dari saya.”
Nabi bersabda kepada para sahabat, “Berikan kepadanya apa-apa yang kamu ada!”
Para
sahabat memberikannya bantuan hinggakan dia mendapat harta yang amat
banyak terkumpul. Kemudian Abdul Rahman bin Auf r.a berkata kepada Nabi,
“Wahai Rasulullah!Saya memiliki seekor unta yang hamil 10 bulan, yang
sederhana besarnya, saya perolehi dalam Perang Tabuk, sekarang saya
hendak mendekatkan diri kepada Allah. Saya ingin menghadiahkannya kepada
saudara baru kita ini!”
Nabi s.a.w bersabda, “Engkau
menceritakan tentang untamu yang engkau telah hadiahkan padanya,
sekarang aku akan menceritakan bahagianmu yang diberikan Allah sebagai
balasan di akhirat. Allah s.w.t. akan menganugerahimu di akhirat unta
yang diperbuat dari permata hijau, tengkuknya dari permata kuning
memiliki pelana yang hebat dan ia akan melintasi titian sirat dengan
pantas seperti kilat, semua orang akan merasa iri kepadamu pada Hari
Qiyamat."
Kata Abdul Rahman, “ Saya redha dengannya wahai Nabi.”
Arab
itu pun keluar dari kawasan itu. Sekonyong-konyong datang kaumnya dari
Bani Sulaim seramai seribu orang menaiki seribu unta dan membawa bersama
mereka seribu pedang dan lembing.
Dia bertanya, “Ke manakah
haluan kamu? " Mereka menjawab, “Kami ingin memerangi orang yang
menghina tuhan kita! Kata Arab Badwi itu kepada kaumnya, “Jangan! Aku
sendiri telah beriman dengannya!” Lalu semua kaumnya beriman pada
Rasulullah.
*Dipetik daripada :http://abubasyer.blogspot.com/2009/11/kisah-biawak-dhab-yang-beriman.html